Isu ISA: SUHAKAM Perlu Adukan Kepada Agong Tentang "Kebiadaban" Menteri KDN & KPN


Suhakam gesa bebas 13, henti guna ISA hingga akta baru digubal

KUALA LUMPUR,  — Suhakam melahirkan rasa amat kecewa dan terkejut dengan tindakan Putrajaya menahan 13 individu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berhubung dakwaan kegiatan gerakan militan di Sabah awal minggu ini ketika ia sedang dalam proses memansuhkan undang-undang tersebut.

Pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam berkata, tindakan terbaru ini benar-benar mengejutkan dan sama sekali bertentangan dengan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berani dan bersejarah untuk memansuhkan ISA serta pengiktirafan dan penghormatan terhadap hak asasi manusia serta perseimbangan antara hak tersebut dengan peraturan undang-undang dalam sistem demokrasi berparlimen negara – yang telah lama dinanti-nantikan dan amat dialu-alukan dengan sepenuh hati oleh rakyat.

“Selaras dengan seruan yang telah dibuat sebelum ini agar undang-undang penahanan pencegahan dimansuhkan, suruhanjaya menggesa agar pihak berkuasa membebaskan kesemua mereka yang ditahan di bawah undang-undang tersebut dan memberikan hak mereka kepada perbicaraan terbuka dengan diwakili peguam,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Katanya, Suhakam juga menyeru kerajaan supaya menghentikan penggubalan undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara dan agar menangani isu berkaitan keganasan di bawah undang-undang lain yang sedia ada dan sementara pemansuhan ISA dibuat, tiada sebarang penangkapan akan dijalankan di bawah akta berkaitan.

Dalam kenyataan semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mempertahankan penahanan 13 anggota kumpulan militan di Sabah baru-baru ini menggunakan ISA atas alasan dibuat selepas polis mendapat maklumat risikan dari dalam dan luar negara.

Beberapa pihak menggesa agar kesemua 13 mereka dibebaskan.

Antaranya, Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling menggesa polis supaya menjelaskan kedudukan sebenar penahanan itu supaya tidak disalah tafsir dan menimbulkan sangkaan buruk.

Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hasan juga mempertikaikan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menjanjikan mahu memansuhkan ISA tetapi mereka ditahan.

Ismail berkata, soal keselamatan tidak harus dipermainkan kerana keselamatan negara adalah tanggungjawab utama polis iaitu bagi membendung apa sahaja boleh mengancam dan menggugat keselamatan negara.

Kelmarin, Ismail mengesahkan tujuh rakyat Malaysia dan enam warganegara asing ditahan di Sabah sejak Isnin lalu mengikut Seksyen 73 (1) ISA kerana disyaki ada kaitan dengan usaha untuk menghidupkan kembali gerakan militan di Sabah.

Identiti dan nama kumpulan militan itu tidak dinyatakan namun sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan polis menahan anggota militan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan Abu Omar yang juga dikenali sebagai kumpulan Kaltim dan berpangkalan di Kalimantan.

Hishammuddin pula berkata kesemua enam warga Indonesia yang ditahan kerana terbabit dalam aktiviti militan akan diusir segera ke negara asal mereka.

Beliau berkata, tujuh warga tempatan yang turut ditahan bersama mereka akan didakwa di mahkamah sebaik siasatan selesai dan segala bukti dapat dikumpulkan.

Katanya, semua yang ditahan itu didapati mendapat latihan ketenteraan serta terbabit dalam penyeludupan senjata dan kegiatan mereka dikategorikan serius bukan saja oleh Malaysia tetapi juga pihak berkuasa Indonesia dan agensi lain di peringkat antarabangsa.

“Kita tidak gunakan sewenang-wenangnya ISA. Ia akan terhad kepada isu keganasan jadi pengesahan pihak Indonesia itu sedikit sebanyak membantu membuktikan kewajaran tindakan kita,” katanya.

September lalu, Najib mengumumkan ISA dimansuhkan dan memberi jaminan dua undang-undang baru yang akan digubal untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang serta perbuatan jenayah tidak akan digunakan untuk menahan sebarang individu semata-mata kerana ideologi politik.

Bagaimanapun, dua akta baru bagi menggantikan ISA perlu dikuatkuasakan dahulu sebelum pemansuhan ISA boleh dilakukan. -TMI

Posted on 19/11/2011, in macam-macam. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: